Saturday 16 June 2012

Kehilangan...

Allahuallah..allah
Sayu..tak tertahan airmata untuk dibendung dari terus mengalir.
Sebak didada masih kuat mencengkam diri.
Sepi sendirian memujuk hati agar dukacita itu pergi.
Cukup terasa kehilangan..
Berita yang tiba-tiba begitu menyentap jiwa
Sehingga tulisanku penuh emosi mengikut rentak rasa.
Dukaku bukan kerana berpisah dengan kekasih hati, 
bukan juga kerana diri dilukai atau dicaci maki.
Tapi..
kerana Murabbi cintaku telah pergi...


Bagai semalam aku mendengar taujihad daripada Sang Murabbi,
terngiang-ngiang suara tua beliau menyampaikan amanat saat hati serta fikiranku dalam tekanan dan himpitan suatu ketika dulu... 
dan kali terakhir berjumpa beliau dalam keadaan uzur dan tidak berkudrat tapi  semangat juangnya masih gagah 
menyebarkan kalam tarbiah. 
Wajahnya yang tenang dan bersih penuh kasih menutur bait-bait bicara.
Ketegasan dakwah disaluti cinta pasti menggamit hati
 sesiapa yang menjadi mad'unya.
Tanggal 14 June 2012 bersamaan 24 Rejab 1433,
diufuk barat membentangkan senja yang mendamaikan
Murabbiku Ustaz Ya menyusun helaian-helaian terakhir 
susunan kitab haraki perjuangan.
 Sebaik saja selesai helaian terakhir susunan karangannya sendiri, 
tidak ada siapa yang menduga saat itu  adalah 
hembusan nafas terakhir beliau.
Allah sedia menjemputnya kira-kira jam 6.20 petang, itulah ketetapan masa yang telah tercatat di Luh Mahfuz. AlFatihah..
Ustaz Ya,
Walau jasadmu tidak ada bersama dalam perjuangan agama, namun semangat dan kata-katamu masih tetap dan akan terus ada.


Bagai lena dan rehat panjang wajahnya..putih bersih kemerah-merahan
Berbahagialah kamu guruku disana..
moga malaikat meriah menyambut kepulanganmu pejuang agama. 
Begitulah akhir hidup seorang daie, langkah dan lariannya tidak mengenal erti penat lelah dan putus asa dalam perjuangan, 
hingga husnul khatimahnya begitu cantik sebagai penutup tirai filem seorang abid... Jalan sketsanya seolah-olah dapat dirasakan itu adalah detik-detik terakhir baginya, dengan menyusun naskah-naskah untuk ditinggalkan sebagai amal jariah dan ilmu yang bermanfaat. 
Subhanallah!
 Terbayang dimata wajah-wajah insan sekelilingku yang pergi menyambut seruan ilahi, Tok sedaraku yang meninggal dua minggu yang lepas, Datuk dan Nenek kesayangan, Tok sedaraku yang akrab bagai datuk sendiri, Paklong, Pendidikku Ustaz Nik Jid, Teman-teman seperjuangan yang pergi dalam usia muda..Kak Pa, Kak Hanan, Bedul dan 
Saudara kandung yang amat aku cintai walau tak pernah 
melihat wajah dan menatap matanya... 
Abang Muhammad.
Cukuplah kematian itu menjadi pengajaran untuk mereka 
yang masih hidup.
Ya Allah.. ampunilah mereka.. 
Rahmatilah mereka, luaskan kuburnya, jauhi mereka dari kegelapan dan anugerahkanlah nur Mu yang bercahaya, peliharalah mereka dari azab kubur dan seksaan api neraka. Kemudian tempatkanlah mereka 
ditempat syurga yang mulia. Amin Ya Rabb..

Penghormatan buat kali terakhir
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain." ( Hadis Riwayat Imam al-Bukhari )




Monday 4 June 2012

Yang Terindah Itu Diuji


25 Mei 2012
Bila membuka mata dari pejaman..ia masih sama seperti hari yang lepas, udara dan nafas semalam masihku hela, tidak ada satu pun nikmatNya yang berkurangan. Putaran waktu mengembalikan aku pada tarikh yg sama walau masanya sudah lama berlalu. 25 Mei, dengan tarikh ini..aku lahir melihat dunia. Hari-hari semalam telah aku tinggalkan sehinggalah ia meremajakan aku seperti hari ini. Membesar dalam keadaan penuh kekayaan kasih sayang daripada keluarga, menjadikan aku selalu hidup selesa,lengkap dan sempurna walaupun masih dalam serba kekurangan. Setinggi-tinggi pujian hanya untuk Allah.. Alhamdulillah! Tarikh penting ini  tidak bermakna jika hanya disambut dengan gelak ketawa parti, berkejaran utk saling tampal kek kat muka, wish drp teman2, dan hadiah2 yang banyak. Bukan tidak bersyukur...namun ia lebih bererti jika dibandingkan dengan mengambil masa sendirian beberapa saat, sujud syukur tanda berterima kasih kepada Allah atas contrak usia yang dilanjutkan tanpa sesen bayaran. Sila take note dengan amaran yang sudah sediamaklum dari Allah. 
"Maka apabila telah datang ajal mereka, mereka tidak dapat mengundurkannya walau pun sesaat dan tidak dapat pula mempercepatkannya" (surah al-A'raf : 34)
Dalam senyuman yang mekar berbunga, jangan pernah lupa merenung jauh kedasar hati. Kalau dulu,sampai je pada tarikh hari lahir, wajah riang tak terkata. Tertunggu-tunggu ucapan daripada MaaAbah dan keluarga, pastu dapat hadiah daripada kekanda-kekanda tersayang. Hadiah yang banyak daripada orang-orang sekeliling, mungkin boleh bukak kedai pulak berniaga kecil-kecilan=) Gembiranya waktu itu hingga aku lupa untuk mengingatkan diri pada setiap kelahiran, pasti ada kematian. Sepanjang aku hidup, apa yang telah aku lakukan? sudah langsaikah hutang kesalahan dengan Allah, manusia dan semua makhlukNya? Bagaimana nanti kalau ajal datang merenggut tanpa notis dan isyarat??? Persoalan itu tidak pernah aku terfikir hingga masuk alam sekolah menengah, sedangkan 5 minit selepas ini pun aku xkan dapat jamin untuk terus hidup. Memang xingat mati betollah zaman riang dulu. Gembira dengan tarikh itu kadang-kadang langsung lupa untuk mengucap alhamdulillah, berterima kasih pada tuhan yang menciptakan diri ini, memilih aku untuk menjadi hambaNya, tetap memberi nikmat walau seringkali aku kufurinya. Jugak pada MaaAbah yang susah payah membesar dan mendidikku, tidak pernah aku kira berapa titik peluh keringat yang memercik... demi untuk kesenangan dan tidak mahu lihat aku susah walau sekelip matanya.




Dikesempatan ini, hamba yang dhoif dan serba kekurangan ini merendahkan hati untuk memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan yang pernah mencuit, mengguris, mencalar, menyentuh, meretak, dan menghempas hati kalian. Tidak ada yang diharapkan melainkan kemaafan dan doa tulus daripada keluarga, sahabat dan teman-teman, semoga dengan doa dan kemaafan kalian menjadikan tiap perjalananku semakin lancar menuju redha Allah. Sujud syukurku penuh kehambaan berterima kasih padaMu Ya Allah.. kerana menghadiahkan aku kelainan yang cukup bermakna dalam limpahan nikmat dan rahmatMu. Terima kasih penuh cintaku buat Maabah, kekanda dan adinda tersayang (Kak Long hingga ke Adik Yah yang bongsu) atas doa, dorongan dan hadiah yang amat bererti untuk kali ini. Buat insan-insan yang mengingati aku dalam diam tadahan doa dan sujudnya, Sahabat-sahabat nakal yg suka buat gimik dan surprise, teman-teman seperjuangan pembakar semangat.. terima kasih kerana sudi mendoakan dan keceriaan yang kalian hadiahkan.=) Tarikh ini menjadi semakin penting daripada tahun-tahun yang biasa krn ada 5 point penting yang  perlu aku lalui dan selesaikan satu persatu. Aku yakin Allah akan selalu ada untuk membantu saat aku buntu. Pagi yang indah sedikit mendung mengisyaratkan hujan mahu turun..Hati memujuk agar tidak terus suram. Seawal jam 4 petang aku perlu bersiap sedia untuk ke Pahang. Disana ada tugas yang menanti. Dengan doa, kami mulakan perjalanan pada jam 6 petang. Suasana dalam bas agak meriah. Sempat lagi sambut besday untuk x2,potong kek dan makan sama-sama,habis comot. Akibatnya banyak sangat pergerakkan dalam bas, aku mula diam dengan penuh zuhud dan tawadduk... tidak lain tidak bukan kerana pening dan meloyakan. Untunglaaa pening sikit dah ada yang ambil berat. K.Tiqaf dan adik beradik Meranti memang prihatin, bersama mereka terasa seperti kanak-kanak yang diberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya=) Sampai dikampung lebih kurang jam 11 malam. Perasaan rindu pada Mak dan Ayah semakin membuak-buak. Wajah tua yang tenang itu terbayang dimata. Kami terus ke rumah MakAyah.... Suasana gelap gelita, tangga pun dah tercabut. Mungkin Ayah dan Mak dirumah mereka yang satu lagi, jauh nun di kebun. Hampa...

Sweeettnya Mak saya=) walau umur dah 80,tp awet muda.
26 mei 2012
Pagi- pagi lagi kelihatan sahabat-sahabat bersiap sedia untuk menziarahi keluarga masing-masing, aku juga tidak ketinggalan dan tidak sabar untuk berjumpa dengan MakAyah. Subhanallah.. teramat cantik seni lukisan kasih yang Allah lakarkan menjadikan perasaan halus cukup mencintai mereka keranaNya. Dapat ku rasakan cinta itu mengalir dalam hati. Berjalan-jalan dengan beberapa orang sahabat untuk tujuan yang sama. Aku mempercepatkan langkah, kelihatan Mak sudah di anjung rumah. "Jannah!" Mak menjerit riang dengan senyuman lebar yang terindah! Aku berlari-lari dan sedikit berhati-hati memanjat tangga. Kerinduan yang sarat dihati akhirnya terlerai, bersalam dan mengucup wajah tuanya cukup mendamaikan. Mak terus berceloteh yang mereka menunggu aku dan Yusma daripada semalam, tunggu punya tunggu tak datang akhirnya mereka tido. Meleret senyuman aku..Ayah rupanya sedang bersiap-siap untuk jemput kami di tempat penginapan. Mak masih lagi tersenyum bila nampak Yusma yang baru datang. Dalam rancak berbual rupanya Mak dan Ayah tak sarapan lagi, kat dapur xde keperluan yang perlu dimasak. Kebetulan kami ada bawak barang-barang dapur termasuk Maggi, nak masak guna dapur kayu dekat dengan setengah jam,xmenjadi- jadi jugak. Mak dan Ayah tergelak tengok..buat malu je, macam lah xpernah masuk hutan pegi khemah. Akhirnya Mak Cik depan rumah yang tolong baru berasap dapur. Aku dan keluarga, budak-budak kecil,kawan-kawan 4 5 orang yang datang makan ramai-ramai Maggi paling sedap dalam dunia ni, cukup 40 hari MakAyah tinggal dengan kami, conform biru mata MakAyah jadi Mat Salleh. Sambil-sambil tu Yusma tontonkan cerita Al-Ikhlas sebagai pengisian pertama. Hampir Zohor, Ustaz Ya datang, bersiap-siap untuk solat jemaah, solat hajat supaya diberi kemudahan dalam setiap urusan,ditetapkan hati-hati saudara baru kami disini dan seterusnya bacaan Yassin. Sesungguhnya jalan menuju Allah itu penuh berliku. Selepas pengislaman MakAyah tersebar dikawasan kampung dan anak-anak, mereka amat marah dan menentang. Sehingga sekarang mereka masih gagal untuk membuat pendaftaran sebagai islam.Teringat semasa dikampus, aku mendapat panggilan telefon daripada Ayah,suara lirih Ayah antara faham dan tidak faham loghatnya memberitahu anaknya amat marah dan meminta untuk keluar daripada islam. Aku sedaya upaya menenangkannya sedangkan hati aku sendiri langsung tidak tenang, berkecamuk.. rasa ingin berlari kesana. Tidak ada apa yang dapat kami buat melainkan tidak putus-putus berdoa dan bersabar. Senior-senior kami pantas bertindak dengan terus merangka strategi follow up untuk kesana.Allah..hanya tuhan yang dapat memahami gelodak hati kami. Itu cerita Ayah dan Mak, berlainan pulak dengan Pak Din yang dihalau rumah oleh adiknya dan dberhentikan kerja. Namun dia cekal dan berprinsip, tambahan hidupnya yang single selepas kematian isteri menyukarkan untuk dia dipengaruhi oleh sesiapa. Alhamdulillah.. Selepas Zohor kami ke rumah Mak Ayah untuk majlis kesyukuran sempena besday dan makan-makan. Kemudian bacaan doa selamat. Rumah Mak Ayah agak sesak dengan anak cucu Ayah, orang kampung pun datang jugak. Kek special daripada senior Usim, aku dan MakAyah potong sama-sama. Memang best! Pandai betul dia buat, berbakat dan kreatif! Petang tu Ayah angkat Kak Sakinah ajak kami jalan-jalan naik bot. Ha..apa lagi,peluang keemasan buat orang yang tak pernah naik bot walau rumah dekat je dengan pantai. Kami tinggalkan  MakAyah sekejap bersama anaknya dan orang kampung untuk ambil barang-barang dan kemudian kami datang balik untuk ajak Ayah sama-sama ke sungai. Tapi untuk kali ini Ayah menolak. Wajahnya sedikit kelat dan stress, aku mula tidak menentu. Kami biarkan saja sambil ikut Makcik dan Pakcik kesungai, Ustaz Ya pun ikut sekali. Hati kami sedikit gelisah, terfikir-fikir, apa yang mereka bual kan? dan kenapa wajah ayah tiba-tiba berubah? Hati yang bimbang terubat dengan pengembaraan yang terindah. Subhanallah.. cantik, tenang dan mendamaikan anugerah alam ciptaan Allah. Rasanya inilah pertama kali gambar yang paling cantik dan indah pemandangannya pernah aku ambil.


pemandangan perjalanan kami menuju ke rumah rakit untuk memancing ikan
Jenuh memancing, tak dapat-dapat ikan, tak guna teknik yang betul atau tak pandai? Itu bukan jawapan, sebenarnya tak ada rezeki=) Gembira tengok Makcik dan sahabat-sahabat yang dapat ikan. Suka betul diorang. Sebelum balik kami beli ikan Tapah daripada tuan rumah.  Sampai je didarat, aku mula pening. Ada je sahabat yang menyakat "Ni  bukan lagi laut, kat sungai pun dah mabuk," Tersenyum mendengarnya, mungkin bot tadi laju sangat dan sememangnya aku tidak biasa. Tapi aku tidak serik, keinginan untuk naik lagi lain kali itu ku simpan diam-diam=) MakAyah nampak gembira dengan telatah kami membawa ikan, macam bawak balik ikan jerung je gayanya. Mereka mula bersemangat cerita pasal menu ikan yang biasa dibuat. Tapi masih dapatku lihat airmuka mereka jelas nampak suram. Gusar.. Kembali ke kawasan penginapan. Termenung sekejap sambil tengok kanak-kanak main bola dipadang. Pening tadi masih terasa. Sayu.. dingin hati ini. Kemudian aku belek-belek buku "Cahaya Iman di Kuala Nenasi", sedikit buat aku tersenyum dan terhibur dengan hadiah pemberian Ustaz Ya. Hasil karangannya sendiri, terasa terharu dengan ustaz yang sudah dimamah usia tapi sanggup menulis untuk menghadiahkan tinta-tinta ilmu dan pengalaman sempena hari lahirku. Semoga Allah membalas jasa baik Ustaz dan keluarga terhadap kami. Kemudian berbincang dengan ketua kami mengenai buku tersebut serta masalah- masalah yang melanda, jika tidak ada halangan ketua kami mencadangkan untuk membukukan balik buku tersebut. Mahu kembali kerumah Makayah, langkahan ini terasa longlai..tidak ada semangat pada derapnya.


Singgah sekejap menolong makcik dan Kak Kinah siapkan makan malam, kemudian kerumah Ayah, ikut serta dalam perbualan Ustaz dan beberapa orang sahabat, aku diam berteleku bila Ayah mula bercerita yang anaknya cukup marah sehingga tidak mahu memberi makan dan duit selagi Ayah masih islam. Hatinya dipaksa untuk keluar daripada islam, berkaca mata Ayah.. ada garis- garis duka yang terpamer pada wajahnya. Aku tahu Ayah mula keliru, aku sedaya upaya memahami keadaan MakAyah sebagai saudara baru, mereka masih tidak kuat... Tidak ada apa-apa pengisian dalam jiwa mereka melainkan syahadah. Tidak mahu menyentuh sekalipun ku ceritakan walau sepatah mengenai kondisi sebenar, kerana terlalu takut dan bimbang, semoga ianya tidak akan pernah terjadi. Ustaz sedikit sebanyak berpesan kepada Ayah sebelum pulang. Suasana sepi seketika, aku mula memecah kesepian mengalih topik daripada terus-terusan bercakap soal islam, bimbang  kata-kataku makin menambahkan tekanan pada mereka. Mencari-cari point yang sesuai untuk menceriakan kembali suasana dengan bercerita tentang ilmu mempertahankan diri,mintak untuk Ayah ajarkan buah/teknik lain, Ayah terus bersemangat membuka langkah, orang yang berdarah pendekar memang mudah naik semangat. Menjerit Makcik dan anak-anaknya tengok. Dapat jugak buah tangkis dan guntingan baru. Tak tahan geli hati, mereka buat aku ketawa dengan gelagat mereka yang riuh rendah. Diwajah Mak terpamer kembali kegembiraan. Malam tu aku bukak video tentang proses kejadian alam, kejadian anak ayam, semut dan kebesaran Allah. Sempat menyentuh tentang kisah-kisah sahabat yang keislamannya ditentang hebat, diseksa dan dibunuh. Kemudian kami menonton filem Hafalan Shalat Delisa. Berhimpit dirumah MakAyah untuk tengok cerita. Sedar tak sedar aku dah tertido dibahu Mak. Mak senyum je.. Masa untuk tidur kami keluar duduk dianjung rumah agar perbualan kami tidak mengganggu tidur mereka. Sesekali dengar Ayah terbatuk-batuk dari dalam. Hamparan langit yang gelap dan kelam tanpa bintang bagai turut memahami fikiran. Hati tidak senang dengan resah gelisah, ada sesuatu yang mengganggu ketenangan. Sedikit sebanyak kesabaran mula pudar dan semangat kian luntur. Denyut nadi dakwahku bergerak perlahan-lahan. Sahabat-sahabat yang setia, K.Kinah, Fai, K.Fiza dan Yusma turut sama termenung. Sepi. Kami seolah-olah berada dalam zon yang tidak selesa. Saat itu mereka cuba untuk menenangkan aku, mengenggam tangan memberi kekuatan walhal aku sendiri tahu mereka jugak turut merasai apa yang aku rasa. Acap kali aku terlupa pada sabda nabi yang menghiburkan, sesiapa yang memperbanyakkan istighfar maka Allah akan menghapus segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Membaca doa dan Ruqyah Syariah sebagai pelindung diri sedikit menenangkan kami daripada peringatan Mak Puteh untuk selalu berwaspada. Kehadiran dua lagi senior amat melegakan hati kami, sorang lagi senior maharajalawak, dengan skill yang ada dapat menghiburkan jiwa-jiwa yang mendung. Masa yang singkat menjadi wadah untuk sama-sama kami hamasah dan koreksi diri, kemudian menyusun perjalanan untuk menghadapi hari esok. Berharap semoga hari esok damai menenangkan dan kembali seperti sediakala.

27 Mei 2012
Sarapan bersama-sama dengan celoteh yang menghibur bagaikan kami satu keluarga yang cukup lengkap dan bahagia. Pagi itu, kami suarakan pada Ayah untuk sekali lagi kesungai. Disitu kami akan mengambil masa untuk memulihkan keadaan, menggerakkan jiwa-jiwa dan menyuburkan kembali aqidah yang tertanam dengan izinNya. Dalam perjalanan kesungai, aku hanya diam berjalan dibelakang Ayah dan Yusma, tenggelam timbul perbualan mereka,tersentak dari lamunan  bila Yusma tanya pada Ayah. "Ayah.. Ayah sayang tak kat Jannah?" Itu saja yang aku dengar dan aku hanya biarkan mereka. Nampaknya Yusma sedang menggunakan ilmu psikologinya. Berhenti melangkah, menoleh pada Kak Sakinah dan Apak yang berjalan  dibelakangku. Terus berjalan.. menarik nafas dalam-dalam, dan membisikkan kekuatan kedalam diri sendiri. Hari ini adalah hari yang terakhir aku berada disini, mengapa harus lemah dengan cubaan yang sedikit ini? Diri terasa terinspirasi.. jgn pernah mudah menyerah kalah! Islam itu  agama yang damai,sarat dengan pengorbanan dan kasih sayang, medan dakwah adalah cinta yang perlu dibaja dan disuburkan selalu. Untuk menjaga cinta itu bukan mudah, hanya orang yang mencintai cinta itu akan terus berjuang agar ia tidak berundur  mahupun berganjak walau setapak. Kerana islam dan dakwah itu sendiri adalah cinta, ia  mampu meniupkan kembali ruhiyyah yang sedikit layu dan kuncup kuntumannya menjadi mekar membugar. Sampai disungai, kami meniti untuk naik ke rumah rakit. Tapi malangnya ada sorang diantara sahabat jatuh berdebuk kerana tergelincir. Kami semua tergelak besar  kerana terlalu simpati, nasib baik tak tergelonsor kedalam sungai dengan bag galas yang ada laptop dan barang-barang berharga, kesian betul. Dua tiga orang makck dan pakcik bagi kami sekor ikan,belum sempat memancing lagi dah dapat ikan free, alhamdulillah.

ikan ni nama dia........tapi boleh dimakan

Sekarang, giliran aku pulak untuk berbincang dengan Ayah, Sambil-sambil memancing, aku bukak Surah Yassin,hati dan qolbu al-quran. Bertanya itu dan ini apa yang aku tidak tahu. Hati aku sedikit lega bila Ayah mula ramah bercerita masa mudanya, mengimbau kembali waktu Ayah remaja, belajar silat, Atuk meninggal dunia, kesusahannya dan macam-macam. Perbualan kami terhenti bila ada  sahabat-sahabat yang datang naik perahu dengan keluarga angkat masing-masing. Gembira betul diorang kayuh perahu. Kemudian Ayah menyambung kembali perbualan kami yang dah bertahun-tahun lamanya Ayah tak menaiki perahu dan bot. Tiba-tiba ada satu bot lalu, rupanya bot tuan rumah rakit semalam. Subhanallah...Gigihnya lelaki tua ini bekerja sebagai pemandu bot tambang. Dia tidak sama dengan kita semua, yang lengkap sempurna pancaindranya. Dia hanyalah seorang istimewa yang berusia dan tidak ada kudrat. Tapi kecacatan kakinya tidak menjadi alasan untuk hidup normal turun kesungai seperti kebanyakkan orang. Fungsi tangannya diguna sebaik mungkin. Aku cepat-cepat bagitau pakcik tadi yang aku ingin bawa Ayah jalan-jalan dengan bot. Bot yang memuatkan semua sekali enam orang meluncur laju, menikmati keindahan alam buatan Allah yang Maha Hebat. Ayah tersenyum.. Dalam perjalanan kami mendapat panggilan drp sahabat-sahabat yang bas sudah sampai. Sesegera mungkin kami berpatah balik, masakan tidak, bas sampai  awal pada waktunya. Sampai di pelabuhan, aku bertanyakan harga tambang, tapi pakcik itu mengeleng-ngeleng kepala. "Tak apa" ringkas jawapannya. Allah... baiknya hati insan ini. Kagum. Indah lagi andai akhlak dan budinya disaluti iman dan islam. Semoga Allah memberi hidayah dan kesempatan untuknya merasai nikmat yang paling lazat ini. Kami  sedikit memaksa pakcik tadi untuk mengambil duit tersebut. Dia tersenyum dan melambai tangan pergi. Bergegas balik secepat mungkin, dua orang sahabat datang dengan moto untuk ambil orang-orang tua. Sampai saja dibas, semua sahabat-sahabat berada diatas bas, pakaian-pakaian kami semua dah mereka kemaskan. Kelam kabut pergi jumpa Mak dirumah dan bersalam, turun tangga dan naik balik. Aku pesan pada Mak supaya Mak tetapkan hati dalam islam,kuat hadapi cabaran. Allah.. wajah Mak sarat dengan kesedihan. Tidak pasti kesedihan itu sama ada berpunca aku mahu berpisah dengannya atau sebab lain. Aku melambaikan tangan sebelum pergi dengan hati yang berbelah bahagi. Sampai di bas, aku pesan pada Ayah hal yang sama.. selalu sebut Allah.. Allah sebagai zikir hati.Ayah angguk mengiakan... wajah Ayah cukup menyakinkan kalau ayah dapat tempuhi halangan itu. Hiba..aku berharap lambaian terakhir hari itu akan berulang kembali selepas ini.. Aku tahu senior-seniorku yang baik hati dan luhur budinya akan  berusaha untuk membawa kami kesini lagi dengan izin Allah. Tetap bersyukur walau target untuk menyelesaikan masalah pendaftaran MakAyah tidak berjaya, sekurang-kurang peratus kekeliruan mereka dapat diatasi, aku berpegang pada kata ketua kami, "Jangan bimbang dan bersedih, walau tidak boleh daftar pada ic tapi disisi Allah mereka tetap islam". Aku punya rencana, tapi Allah juga punyai rencana dan sebaik2 perancangan itu adalah perancangan Allah. Semoga Allah terus menetapkan hati, menjaga ,melindungi, merahmati dan menyanyangi MakAyah hingga nafas terakhir mereka. Bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan kampung tarbiyah cinta itu sehingga pemandangannya luput daripada mata. Benarlah.. yang terindah itu tidak akan bermakna tanpa terujinya kami disini. Wahai diriku yang mudah lupa dan alpa...Saat terasa lemah itulah perlu kita terjemahkan semangat juang yang dilaung-laungkan agar tidak menjadi doktrin semata-mata, Ia memerlukan satu kekuatan jiwa yang prima. Pandanglah pantai yang indah dan tenang, siapa yang tahu ditengah lautan itu ada ombak yang bergelora, perhatikan pada pelangi yang menawan, ia terbit waktu deraian turunnya hujan, adanya mentari disiang hari memberi cahaya, namun malam yang gelap gelita pasti tiba. Allah mewartakan! Inilah seni lukisan takdir yang Allah tetapkan. Kita sebagai hamba hanya perlu mengikut terma dan syaratNya. Tak pernah lupa untuk mengucapkan terima kasihku kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memberi sokongan padu dan saling menguatkan... Sungguh! iman, kesabaran, ukhwah teruji disini. Meranti menjadi saksi perjuangan kita yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan mujahid-mujahidin penegak agama Allah dengan jiwa raga, harta, airmata hatta nyawa dan darah. Semoga Allah tetapkan hati kita untuk terus bersama dijalanNya. 
"Alangkah indahnya kalau kita fahami setiap inci ujian yang kita alami adalah sentuhan kasihsayang Allah kepada kita,tidak pernah sekalipun ujianNya datang untuk menjauhkan HAMBA dengan TUANNYA,bahkan menjadikan manusia semakin ingat dan dekat dengan Maha Pencipta".