Saturday 9 February 2013

Dendam Belum Berakhir (E2)


Larian terhenti, aku termengah-mengah mengangkat tangan tanda menyerah kalah. 
"Eleh, tak sampai separuh jalan pun dah fail! Belum lagi jogging keliling satu tasik!" Athmar tersengih memerli.
 Tangannya pantas merampas buku catatan dalam dakapanku kemudian dia mengekori dari belakang untuk duduk bersama di bangku batu. Aku biarkan saja melihat Athmar diam membisu apabila dia membelek-belek helaian buku. Masih seperti tadi, kami menghadap heningnya suasana tasik ciptaan Allah. Bagai seni lukisan yang terindah di sebuah kanvas, pelukis melukis sepasang sahabat sejati dipinggir tasik dan setiap lakaran itu pasti punya maksud dan ceritanya tersendiri. Athmar memandang wajahku dengan simpati, tangannya menepuk-nepuk bahuku.

"Sudahlah tu...maafkan saja." Athmar bersuara memecah kesunyian. Tiba-tiba hati kecilku terusik dengan kata-katanya. 
"Tidak semudah itu..." Aku memalingkan wajah dan cuba sedaya mengawal emosi, membendung saratnya kesedihan yang bertapak.
"Lagikan Rasulullah insan teragung boleh merendahkan hati memaafkan ummatnya. Kita hanya insan biasa yang tidak bertaraf apa-apa tidak layak bersikap demikian... Apakah kau tidak mampu untuk memaafkan ayah sendiri Syahidah?..." Suara Athmar berbau keras, dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung kata-kata.
"Syahidah...dari sepuluh tahun yang lalu aku tidak berputus asa untuk memujukmu memaafkan ayah. Setiap kali kau bersedih, aku tahu tidak ada perkara yang lain melainkan ada kaitan dengan ibu dan ayahmu. Aku semakin tak faham apa teruk sangatkah kesalahan ayah sehingga sekarang kau masih nak berdendam? Syahidah... kau muslimah yang hebat, berpengetahuan agama malah kau sendiri dinobatkan sebagai ratu solehah di peringkat universiti." Athmar merengus, matanya tepat memandang wajah Syahidah.

"Tapi kau tak faham!"  Aku tidak sengaja membentak...Terkedu dengan tindak balasku sendiri.
 Bagai taufan meragut pelangi kegembiraan, mendung bercuaca dihati masing-masing. Aku memilih jalan untuk diam daripada terus bertelagah.
"Apa yang aku tak faham??? Kalau aku tak faham, please fahamkan aku! Apa sebenarnya yang masih tak sudah?" Mata Athmar berkaca. Terasa dirinya belum layak digelar sahabat. Masih tidak lengkap lagi rukun usrah yang tiga perkara itu kalau "taaruf" dan "tafahum" nya tidak ada  walhal kami sering bertakaful"". Jujurnya kami adalah sahabat yang paling akrab persis adik beradik kembar yang saling melengkapi antara satu sama lain. Aku diam tertunduk, air mata menitis membasahi tudung labuhku. Segera Athmar memeluk dan mengusap air mataku.
"Syahidah...maafkan aku. Aku cuba untuk memahamimu..." Athmar mula diragut rasa bersalah.
Aku mengangkat wajah dan memaksa untuk menghadiahkan senyuman pahit. 
"Tidak Athmar...Aku yang salah. Maafkan aku." Tuturku perlahan.
Begitulah akhlak kami dalam persahabatan, sekali pun merasa kesalahan itu bukan punca daripada diri sendiri tapi tidak ego dan malu untuk memohon maaf. 
"Tengok ni...ingat tak???" Athmar menarik nafas, meniup kedalam tapak tangan kemudian mengenggamnya dan genggam itu diletak ditelapak tanganku sambil mengenggam tanganku. Aku tersenyum mengenangkan perbuatan yang sering kami lakukan waktu  zaman sekolah yang lampau.
"Aku dah tiupkan semangat dan keyakinan, dengan izin Allah aku berikan pada mu. Rasa tak auranya?" Aku tergelak kecil mendengar Athmar mengajuk kata-kataku pada suatu ketika dulu saat Athmar hilang semangat dan kenyakinan untuk terus berjuang. 
"Terasa auranya..."
Bisikku perlahan sambil genggaman tanganku dibawa kedada, aku mengukir senyuman seikhlas mungkin. Athmar turut sama tersenyum atas keberkesanan perbuatannya.

"Syahidah, ceritalah..apa yang menggangu fikiranmu? Kalau kau tak cerita balik nanti aku tidur dan lambat bangun! Manalah tahu kalau umurku tak pendek, mesti roh aku tak tenang. Aku akan kacau kau malam-malam dan bergayut tepi jendela. Ceritaaaaaaaaaakanlah...hahaha" Athmar membuat suara garau dan berderai ketawa kami. Aku memandang sekelilingku, selamat kawasan tasik tempat kami duduk itu bebas untuk siswi sahaja.
"Dah..tak payah nak merapu dan mengarut." Aku menghela nafas. Ketawaku terhenti.
"Athmar... maafkan aku, dari dulu lagi sepatutnya kau tahu cerita ni, tapi sekarang aku rasa dah tibanya untuk aku kongsikan. Dah dalam suratan takdir, ditulis cerita aku macam ni... Kau tahukan kalau masa darjah satu dulu Mak dan Ayah aku bercerai... masa tu terlalu perit untuk aku lalui dalam usiaku masih kecil. Tapi aku tak pernah cerita lebih daripada itu..." Athmar mengangguk dan setia untuk mendengar selanjutnya. Aku membuang pandangan kosong ditengah tasik, fikiranku bagaikan putaran filem mengimbau zaman kanak-kanak.

"Aku masih samar hingga saat ni bila masa Mak dan Ayah bergaduh. Aku dapat tahu mereka berpisah pun masa Ayah nak keluar daripada rumah. Mak duduk merayu agar jangan tinggalkan kami, tapi Ayah sepak kepala Mak sehingga Mak aku pengsan tidak sedarkan diri. Masa tu aku meraung macam budak gila, tidak tahu bagaimana aku harus bertindak. Aku biarkan Ayah pergi begitu saja. Aku tengok ada perempuan cantik pakai kereta mewah datang jemput Ayah. Memang aku tak tau apa-apa waktu tu...Aku panggil Nek Dah jiran tepi rumah untuk tolong Mak" Suaraku perlahan dan mendatar, Aku membetulkan posisi kedudukan. Mata berkolam dukacita.
"Syahid pulak menangis...badannya panas." Merembas Air mataku tatkala menyebut nama satu-satu adik lelaki kesayanganku. Terlalu sakit untuk aku menceritakan semua ini, dan aku lihat  Athmar masih lagi tergaman mendengar rahsia hidupku. 
"Selepas Ayah pergi, kehidupan kami menjadi susah. Hasil jualan kuih Mak mana nak cukup untuk tampung kehidupan kami, tambahan pulak Syahid sakit. Aku kagum dengan Mak, dia wanita yang paling kuat pernah aku jumpa dan aku miliki. Selepas kejadian tu, aku tak pernah tengok Mak menangis walau aku tahu Mak selalu nangis sorang-sorang. Satu hari, badan Syahid menggigil, lelah menyerang. Dia mengadu yang dia sakit dada, sampai sekarang aku dapat mendengar suaranya seolah-olah dia masih ada. Mak dah dua hari tak niaga sebab dah tak ada modal, nak pinjam dengan Nek Dah... dia pun miskin macam kami. Mak suarakan pada aku, Mak perlu jumpa Ayah, bukan untuk merayu agar Ayah kembali tapi Syahid amat memerlukan Ayah waktu itu. Aku melarang Mak kerana Syahid tidak mungkin boleh berpisah dengan Mak dan aku tawarkan diri untuk berjumpa dengan Ayah. Kau bayangkan Athmar... dengan naik basikal buruk aku redah selama dua jam untuk sampai ke rumah banglo mewah, berkali-kali aku sesat mencari alamat rumah. Sampai kesana aku jumpa Makcik cantik yang aku tengok masa dia ambil Ayah. Aku merayu untuk dia pulangkan Ayah....aku mintak belas ihsan dia sebagai manusia untuk tolong adik aku yang sakit. Dia menjerit pangil Ayah, Ayah keluar....kau tahu apa yang ayah aku buat?" Aku bangkit dari duduk, wajahku panas dek api emosi yang membakar, kemarahanku meluap-luap. Aku berdiri sambil memeluk tubuh. Athmar turut bangun berdiri disebelahku. Dia memandang tepat kedalam mataku dengan  riak wajah seribu satu persoalan.

"Ayah usir aku dari istana dia! Bukan setakat dia halau aku, tapi dia langsung tidak mengaku aku ini anaknya. Saat itu aku dapat lihat cahaya yang ada pada mata Ayah telah pun terpadam untuk aku.... Dia bagi amaran agar kami tidak ganggu kehidupannya. Ayah bagai dirasuk kegilaan...Sungguh! Cinta,kekayaan dan kecantikan buat ayah buta!tuli dan bisu untuk kami! Ayah telah menzalimi kami sehingga derita seperit ini terpaksa aku lalui..." Suaraku tegas sekali. Aku membiarkan air mataku merembas keluar. Suaraku tenggelam dalam sendu. Mata Athmar merah lantas dia menekup wajahnya, seperti hatinya juga merasai dihiris, dicincang lumat-lumat sama seperti hatiku!
" Aku diam tak terkata dengan sikap Ayah dan aku tak jadi untuk bagitau Syahid sakit menyebut-nyebut nama Ayah. Aku menganyuh basikal burukku laju-laju hingga aku jatuh sebab terlanggar bongkah kayu. Dahiku berdarah teruk. Ketika tangan menekan dahi yang pedih, aku lihat darah mengalir dan aku bersumpah ketika itu yang aku akan membenci Ayah seumur hidupku!"Aku terduduk dihamparan rumput hijau itu dan Athmar memelukku. Terasa kesakitan itu kembali menyinggah didada, tapi luka didahiku  waktu dahulu tidak seberapa jika dibandingkan dengan parahnya luka dihati.

"Dunia ni seolah-olah tidak ada orang yang baik yang boleh membantu kami, kami cuma ada Nek Dah yang dah tak berkudrat. Sampai dirumah aku menghempas basikalku di pokok kelapa. Aku tengok Syahid nazak..." Tidak dapatku teruskan kata-kata. Lemas dalam tangisan. Hanya kedengaran suara Athmar meratib nama Allah. Terbayang-bayang wajah comel Syahid yang aktif mengejarku bila aku menarik hidungnya. Terngiang-ngiang juga suara manja meminta itu dan ini.
Aku amat merindui Syahid...Teramat!
"Apa yang terjadi selepas itu Syahidah...?" Athmar bersuara serak setelah sekian lama dia tekun mendengar kisahku.
"Assyahid Muhammad menghembus nafas terakhir di atas ribaan Mak, dihadapan kedua mataku! Ayah pembunuh! Dia yang membunuh Syahid! Dia yang menyebabkan Syahid pergi meninggalkan aku...Kalau bukan kerana Ayah, pasti Syahid berada disampingku saat ini!" Suaraku mula meninggi seolah-olah aku berada dalam situasi 17 tahun yang lalu. Kotak perasaan yang ku simpan rapi belasan tahun dalam sudut hati akhirnya terluah seakan gunung berapi yang meletuskan lavanya. Athmar beristighfar panjang.
"Mengucap Syahidah...jangan terlalu ikutkan perasaan..ingat Allah.." Athmar memegang kedua bahuku agar aku berhadapan dengannya.  Aku memejamkan mata sambil menepis lembut tangannya.
"Sememangnya dia pembunuh! Apa lagi yang aku nak cakap? Baik hati???Ayah yang penyanyang dan bertanggung jawab???" Aku menyoal Athmar bertalu-talu dan Athmar mengeleng-ngeleng kepala tanda itu bukan jawapanya.

"Seminggu selepas Syahid pergi, mak aku jatuh tangga dan kena stroke...selama sebulan aku yang darjah satu masa itu urus segala keperluan rumah...kehidupanku tidak terurus dan langsung tidak ke sekolah selama tempoh itu. Mujur Allah jadikan Nek Dah orang tua yang murah hati, dia selalu membantu dan memberi semnagat pada kami. Hanya sebulan Mak menderita kerana stroke dan kemudian beransur pulih seperti sedia kala...kerana Mak aku seorang yang kuat semangat! Bersemangat untuk hidup mempertahankan aku...Untuk lihat aku seperti mana hari ini..." Aku menarik nafas sebelum menyambung cerita lagi.
"Itu kali terakhir Ayah hidup untuk kami, kerana aku sendiri telah membunuh Ayah dari kehidupanku. Pernah jugak aku mintak untuk Mak carikan Ayah yang lain..Ayah yang lebih baik daripadanya tapi Mak hanya mengeleng kepala. Mak kata cukuplah Allah bagi kami...Mak semakin semangat dan kuat berusaha untuk besarkan aku...betul kata Mak... Allah itu lebih daripada cukup. Rezeki kami melimpah ruah selepas itu tanpa belas ihsan nafkah Ayah. Mak bukan sekadar didik aku dengan didikkan agama Athmar...malah Mak cuba untuk mentarbiah aku daripada kesumat benci pada Ayah. Mak selalu pesan dalam hidup tidak boleh ada benci, hidup bukan untuk membenci. Hidup adalah untuk berkasih sayang kerana Allah menciptakan kita penuh dengan nikmat kasih sayang. Setiap kali sebelum aku tidur, Mak selalu cerita sirah Rasulullah dan baca Alquran untukku. Masa aku tingkatan satu, aku pulak yang selalu cerita sirah dan baca quran tepi telinga Mak." Aku berbalas senyum dengan Athmar kerana itulah yang membahagiakan aku. 

"Patutlah kau manja semacam Syahidah!" Athmar ketawa menyakat dan cuba membawa aku lari dari kesedihan dan aku hanya tersenyum.
"Bertuah mak dapat anak macam kau... manja, lembut, comel dan keras kepala!" Athmar terkekeh-kekeh ketawa.
"Keras kepala aku pun jatuh basikal berdarah jugak, keras lagi kepala kau!" Aku membalas gurauannya dengan senang hati.
"Mana ada.. Athmar ni lembut orangnya, tak kira apapun mudah dicairkan ,bukan dengan kekerasan tapi dengan kasih sayang!" Dia tersengih nakal sambil mengangkat kening.
"Kesian, dahlah cari rotan dalam hutan susah payah, buat bakul, dah tu angkat pulak sendiri pakai tali. Penattttt..." Aku tersengih sambil membeliakkan mataku ke atas. Athmar mencebik.
"Hobi memang suka mencebik ye?Ada gaya macam itik!"Aku memuncungkan mulut meniru gayanya. Athmar menampar bahuku, geram dengan telatahku.
"Dah lama kita tak bertengkar macam ni kan? Seingat aku baru dua kali kita gaduh macam ni, ini yang ketiga. Best jugak sekali sekala macam ni. Sakit jiwa aku!" Athmar menarik telingaku. Aku tersengih.
"Kau ingat tak kenapa kita gaduh dulu? Kita gaduh sebab aku cakap Umar Alkhatab itu mertua nabi. Kau yang beria-ria cakap tak! Umar tu sahabat nabi. Memanglah Umar itu sahabat merangkap mertua nabi. Siap kata aku reka cerita lagi! Pastu takmau cakap sebab dah kalah." Aku menyoal dan aku juga yang menjawab kemudian pura-pura menarik muka masam. Ketawanya masih lagi bersisa.
"Aku tak pernah dengar dan tahu masa tu.. Kau lainlah Mak baca sirah tiap-tipa malam." Athmar melirik gembira sebelum wajahnya bertukar menjadi serius.
"Lain kali jangan lawan sifu!" Aku menjeling kepada Athmar yang mula diam. Athmar sekadar tersenyum sebelum mendengus perlahan.

"Syahidah...kenapa bukan dari dulu kau ceritakan pada aku? Maafkan aku...aku sedikit tersinggung.... kau tahu bukan? Sekian lama kita bersahabat, hari ini baru aku tahu siapa sahabatku yang sebenar. Aku banyak tertipu dengan kerianganmu." Athmar tunduk sambil tangannya menguis-nguis rumput, sekali gus mengembalikan kami pada topik asal perbualan. 
"Athmar, Aku bukan tak mahu kau tahu, aku mahu hapuskan semuanya, aku tak mahu ingat lagi soal Ayah...ia terlalu sakit.... lebih sakit jika aku ceritakan. Aku mintak maaf...tidak ada niat untuk aku merahsiakan semua ini." Aku mengharapkan pengertian Athmar.
" Ye...habis tu kenapa hari ini kau ceritakan pada aku?" Athmar mengerutkan keningnya.
"Kerana Ayah kembali dalam hidupku..." Athmar tercengang, riak wajahnya terkejut .
Kedengaran Surah Al-Baqarah bergema menghiasi alam senja tanda 15minit lagi bakal masuk azan maghrib. Aku bangun dan tidak segera menjawab pertanyaanya.
"Hari dah terlalu lewat untuk aku teruskan cerita. Kita perlu pulang ke asrama masing-masing. Lagipun kau kan ada metting persatuan malam ni?" Athmar mengangguk dengan tidak puas hati. Aku tersenyum  memahami gelagatnya.

"Okeylah... Aku janji, aku akan cerita by meseg bila kau balik nanti." Aku memujuknya.
"Tak nak. Ceritalah sekarang!" Athmar mendesakku. Aku memegang bahunya sambil jari telunjukku aku tujukan ke tasik.
"Nampak tak???" Aku menyoal.
"Nampak apa???" Dia mengerutkan keningnya menyoal aku kembali, matanya membutang melihat pandangan kosong dihadapan.
"Tu! Banyak sangat syaitan dah start keluar merayau!" Athmar mencubitku dan aku hanya ketawa.
"Uh!Okeylah. Janji tau! Call..tak nak mesej! Alamak...lupa jadual kena jadi imamah malam ni!" Athmar terkulat-kulat kemudian berjalan tergesa-gesa meninggalkanku. 
"Aihh... Salam pun tidak.. pergi macam tu aje?" Aku merungut sendirian sambil berpaling untuk pulang ke kolej. Kolej kami berbeza dan bertentangan arah. Walau satu universiti kami jarang bertemu seperti ini, masing-masing sibuk dengan taklifan sendiri.
"Syahidah!" Aku menoleh, mengeluh tersenyum.
"Lupa nak salam.heheh."Tangan dihulurkan dan melagakan pipinya dengan pipiku. Dia mengenggam tanganku seakan memberi semangat.
" Dan janganlah kamu bersikap lemah, dan jangan pula bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman. Pujukkan dari Allah...Surah Ali-Imran ayat 139." Athmar tersenyum tenang dalam tuturnya.
"Subhanallah. Terima kasih sahabat." Aku menguntum senyuman bahagia disebalik rasa terharu.
"Assalamualaikum. Insyaallah jumpa lagi. Jaga diri! Jangan nakal-nakal." Athmar berjalan pergi sambil melambai tangan padaku.
"Wassalam w.b.t jaga diri Athmar!!" Aku sedikit menjerit. Kelihatan tiga orang siswi yang berjogging tersenyum melihat gelagat kami. Aku membalasnya dengan senyuman yang lahir dari lubuk hati, terasa ketenangan meresap keseluruh plasma darah.
Aku berjalan pulang.

"Ingat...kalau ada masalah, kembali pada Allah. Sebab Allah yang menciptakan kita dan Allah jugaklah yang memberi masalah pada kita. Saat jiwa sesak, Ustaz Harun Din pesan banyakkan baca surah At-Tahrim. Dalam Quran Allah galakkan kita untuk solat dan kemudian sabar dalam menghadapi ujianNya. Insyaallah, pasti ada jalan keluar. Hinaan manusia itu perkara yang kecil saja. Anak mak tak boleh nangis macam ni. Makan ye..." Mak memujuk sambil mengusap air mataku bila pulang dari sekolah, aku tidak mahu makan dan minum kerana dihina oleh kawan-kawan nakal gara-gara Ayah.
"Mak..boleh tak Syahidah nak nangis sedikit je lagi." Aku meminta. Senyuman Mak bak kejora yang bercahaya cantik di mataku kemudian dia meraih tubuh kecilku ke dalam dakapannya.
'Boleh sayang, menangislah. Bersedih adalah sifat fitrah manusia ketika kita berhadapan dengan cubaan... lebih-lebih lagi apabila kehilangan orang yang kita cintai. Rasulullah juga pernah bersedih apabila dia kehilangan orang-orang yang dicintainya. Lalu Allah hiburkan hati Rasulullah dengan israj mikraj. Namun tidak boleh berlarutan sehingga pandanganmu gelap, hampa dan hilang semangat untuk terus hidup. Syaitan itu suka pada manusia yang berterusan sedih sehingga menjadikan tubuhnya lemah. Orang mukmin tidak boleh lemah jiwanya." Mak mengusap kepalaku dengan harapan agar aku selalu menjadi manusia yang positif. Mak tidak mahu kerana suasana dan keadaan menjadikan aku manusia yang miskin jiwanya, buruk akhlak,tandus kasih sayang dan kotor hatinya.
"Sayang, ubat untuk menghentikan dari kesedihan terus mngalir adalah dengan menjadi manusia yang sentiasa ikhlas. Gantikan kesedihan dengan doa insyaallah kita jauh dari belenggu kesedihan." Aku memeluk emak. Kata-kata emak selalu membakar hangat perasaanku sehingga menjadikan aku manusia yang tidak mudah mengalah dengan pelbagai situasi.

Aku tersenyum mengenangkan nasihat kasih daripada Mak, bangga dengan curahan cinta tulus serta kebijaksanaan dalam mengajar, memahami dan memujukku untuk menjadi puterinya yang baik.
"Dia yang merancang perjalanan hidupku, pasti Dia memberi arah panduan, menolong dan mencampakkan hikmah untukku walau sehebat mana pun teruknya jalan tersebut!" Bisik hati kecilku.
Kedengaran merdunya Azan memuji Allah serta mengajak manusia mendirikan solat dari masjid At-Taqwa. Hatiku lapang, jiwaku tenang, fikiranku beransur damai. 

Bersambung...

Friday 1 February 2013

Dendam??? (E1)


"SABAR ITU INDAH" tidak seindah tulisan mahupun perkataan. Aku manusia yang sering tewas dengan emosi bila berhadapan dengan saat kritis. Namun aku akur dengan tuntutan sabar kerana ia sebahagian daripada  pelengkap iman, bahkan menjadi darah daging serta akhlak idolaku Rasulullah. Andai sahaja aku berada disamping Rasulullah, pasti aku akan mengadu kepadanya tentang nasibku. Apa yang pasti nasib orang dianayai itu akan terbela dengan seadil-adilnya. Tiba-tiba...aku merinduimu Ya Rasullullah.

Sungguh! Aku tidak gagah... sekali pun kuat untuk aku hadapi semua ini sendirian. Diriku terbeban bagai tidak ada ubat melainkan kematian yang menoktahkan kehidupanku. Namun, hidup ini perlu memilih, memilih sama ada untuk bahagia atau terus berduka. Bila jiwaku kelam gelita, harapanku menjadi hancur dan nafasku sesak dalam kabus ujian. Aku memerlukan ketenangan yang mententeramkan untukku lepaskan segala kesengsaraan rasa. Aku tercari-cari apa penawar kepada racun berbisa dihati ini...berendam dengan air mata bukan jalan keluar, malah menjadi rentetan dendam kesumat yang tak pernah padam.

Dendam...sesuatu yang kotor dan jijik! Didalamnya tidak akan ada ketenangan meskinpun kesenangan. Yang tinggal hanyalah kesengsaraan dan kepura-puraan. Hakikatnya, aku membenci segala sifat yang mempunyai kekotoran tersebut! Tidak mahu sedetik pun aku miliki sifat tercela lagi dilaknat ini, bimbang... dengan sifat ini menjadi penghalang untuk aku bertemu dengan Rasulullah dan menjadi jurang untuk aku menagih syafaatnya. 

Namun, saban hari ada sesuatu yang menghantuiku bagai memujuk untuk hatiku merasa sakit! Acap kali naluri ini membisik supaya melupakan bebanan ini, kerana aku ada pilihan untuk jadikan hari-hari hidupku bahagia. Hari akhirat adalah hari pertemuan yang penuh dengan keadilan, neraca tidak ada yang pilih kasih mahupun berat sebelah. Senang cerita, bergembiralah! Kerana aku bakal mendakwanya ditengah bahang masyar! Tapi tidak semena-mena, sendu tangisanku lebih teresak berbanding dengan sebelumnya, kerana aku sndiri tidak sanggup... tidak sanggup untuk aku mengheretnya ke neraka, tidak sanggup untuk aku menjadi penyebab deritanya beribu kali ganda berbanding dengan deritanya aku hari ini. Cukuplah...Allah menyeksa dirinya dengan azab yang setimpal hanya dalam mimpi. Semoga apabila dia sedar dari lena, hidupnya berubah dan merasa kesan hidayahNya.

Satu hal yang perlu aku ingat hingga akhir usiaku, Allah merencana disetiap penjuru takdir itu ada sudut hikmah, punyai teladan dan pengajarannya. Ujian bukan satu hukuman, tetapi kasih sayang Allah sebagai peringatan. Rahmat untuk kita selalu mengingati dan menghisab diri. Jadi...apa untungnya aku disebalik bebanan ini??? Ya...aku sangat beruntung, kerana aku masih mampu bersyukur, kehidupanku jauh lebih baik berbanding dengan kebanyakkan orang lain,aku belajar dari takdir tentang redha dan akrab untuk selalu berbicara hanya denganNya. 

Senyumlah...berbaik sangka dengan Allah......................................................  
Pen tercampak dari tanganku. 
Aku terkejut bila bahuku di tepuk. 
"Assalamualaikum Rindu!"
Sepantas kilat aku menutup buku dan menoleh kepada sahabatku, Athmar yang ketawa melihat aku terkejut.

"Maaf buat Syahidah terkejut!"Athmar memohon maaf bila melihat aku tersenyum memandangnya.

"Wassalam wbt." Aku memjawab salam sejahteranya keatasku dengan senang sekali, kemudian aku mengajak dia duduk disebelahanku, sama-sama menikmati panorama tasik diwaktu petang. Lama sekali kami tidak bertemu dan menghabiskan masa bersama-sama. Athmar, sudah ku anggap sebagai adik beradik kandungku sendiri. Persahabatan kami tidak pernah terhakis dek putaran waktu walau hampir 10 tahun berlalu.

"Tak baik buat orang terkejut, kalau ada sakit jantung mati tak sempat mengucap! Tak ada maknanya nama Syahidah." Aku bergurau untuk melihat dia mencebik seperti biasa.

"Eeiii tak sayang mulut! Ha..tu buku apa tu??" Seperti jangkaanku dia pasti mencebik sambil ingin menarik buku ditanganku. 

"Tak bolehhh..." Pantas sekali aku bangun, dia mengejarku dari belakang. Kami sama-sama ketawa.
Burung-burung berkicauan bagai menyanyi dalam bahasanya tersendiri mententeramkan jiwaku. Ini yang di namakan rahmat kasih sayangNya, sekalipun apa yang terlakar dihati tidak ada siapa yang dapat melihat rentak rintih tulisannya.
Tiada duka yang abadi.

Bersambung...