Friday 27 December 2013

Bertemu Tuan Guru!

Inspirasi kasih di pantai irama
Pulang sekejap ke kampung tercinta atas urusan penting namun tidak terjangkau dek akal akan berlakunya dua tiga perkara sepantas putaran waktu, anugerah  terindah dari tuhan.
Alhamdulillah.
Ribut  exam dan thesis masih belum reda di bumi Usim ini 
namun masih sempat mencuri masa emas untukku coret sesuatu agar ia menjadi 
mutiara mahal berkilau untuk kamu, kamu dan kamu semua.
Pagi semalam aku mendapat panggilan Ustaz Wan Zul ( PA Tok Guru ) atas respon untuk temu ramah Tok Guru berkaitan dengan thesis.
 Semua orang hairan dengan macam-macam persoalan.
" Thesis pasal Tok Guru??? Boleh ke???Lulus eh??? Biar betul??"
Ya. Ini memang betul-betul!

Impian untuk aku bertemu tokoh ulama' Kelantan, bahkan diiktiraf sebagai ulama' dunia telah aku pendam sekian lama, kata orang muslimat tidak boleh bertemu Tok Guru secara face to face. Kalau sudah namanya impian, aku pasti akan mencari jalan untuk realitikannya.
 Akalku mencari penyelesaian, bermula menyiapkan perancangan ingin mengkaji kehidupan serta kepimpinan hebat Tok Guru kemudian aku akan interview Tok Guru dan aku ingin sekali memberi sesuatu hadiah kepada beliau dengan huluran tanganku sendiri. Thesis menjadi alasan kukuh untuk aku bertemu beliau. Bila berjumpa SV, Abi Doc Salah dan aku usulkan proposal tentang Tuan Guru. Katanya dalam bahasa arab :
"Masyaallah! itu sahabat saya!"
dan  dengan senangnya tajukku diluluskan.
Alhamdulillah.
Sampai di pejabat IPTG SUK, turun sahaja dari kereta, kami disambut baik oleh PA Tok Guru, Ustaz Wan Zul di depan pintu.  Gemuruh dan excited bercampur aduk itu lenyap saat kaki melangkah masuk ke pejabat. Hening dan tenang suasana, kelihatan Tuan Guru sedang membaca akhbar, lantas aku memberi salam.

Pemimpin berjiwa rakyat.
Salamku disambut dan adik lelakiku mencium tangannya. Disebabkan aku bawa Adib dan Kak Ngah untuk menjadi peneman menyebabkan ruang terbatas dan tidak cukup kerusi, kami terpaksa beralih tempat. Tok Guru bangun mengagahkan dirinya yang tua lalu duduk di kerusi biasa. Seorang bekas menteri bertanyakan nama, tempat belajar dan sebagainya persis seorang datuk prihatin bertanya khabar tentang pengajian cucunya. 
Wajahnya yang tenang mendamaikan jiwa namun keuzurannya dipenghujung usia menyentuh hati. Tiba-tiba aku gusar dan bimbang akan kehilangan orang tua yang ketika itu berada dihadapanku. 
Pantas sekali teringat pada kata-kata ini :
 "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia.
 Tetapi Allah mencabut ilmu dengan roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain."
 ( Hadis Riwayat Imam al-Bukhari )
Doaku dari sudut hati yang paling dalam
semoga Allah panjangkan umur Tok Guru dengan kesihatan yang baik. Amin.

Soalan yang berlambak untuk ditanya aku batalkan saja,mahu seringkas yang mungkin dengan bertanyakan soalan-soalan yang terlalu penting kerana kasihankan Tok Guru.
Aku jelaskan yang aku sudah banyak mengkaji buku-buku serta latar belakang Tok Guru, cuma apa yang aku ingin tahu, siapakah idola dan teladan disebalik Tok Guru dalam kepimpinan. 
Kata Tok Guru yang aku ubah sedikit bahasanya, insyaallah tidak akan lari daripada maksud asal :

"Orang pertama yang saya ikut adalah ayah saya sendiri, kerana ayah saya ini guru mengajar Alquran dan ibu saya juga mengajar Alquran, ilmu agama, nahu soraf semuanya saya perolehi daripada ayah. Tempat belajar sama ada dirumah atau belajar dihutan kerana ayah saya suka buka tanah-tanah hutan. Setiap kali pergi, ayah akan bawa saya dan bersamanya akan dibawa kitab, iaitu kitab Ihya' Ulumuddin dan kitab hikam Ibnu Athoillah Assakandari serta Al-quran. Kedua-dua kitab ini adalah kitab tasawuf .
 Ayah saya seorang yang suka bangun pagi dalam jam 4 pagi kemudian membaca Al-quran yang melibatkan ayat-ayat berkaitan hari qiamat, syurga neraka dan dosa pahala. Seperti surah Al-Waqiah dan surah Yaasin. Jadi ikutan saya adalah keluarga sendiri. Disamping itu ayah saya selalu berulang alik belajar dengan Tok Kerosan ( Syed Hassan) di Kg Sireh iaitu orang Kerosan, Afghanistan. Dia datang ke tanah melayu zaman dahulu untuk ke Mekah dengan berniaga kain dan juga ayah belajar dengan pemikiran Haji Wan Musa daripada Kubang Pasu, khabarnya beliau seorang mufti khas sultan dan terkenal sebagai orang alim. Pemikiran dua insan ini mempengaruhi ayah bahkan juga mempengaruhi saya."

Sempat lagi hati kecilku mendesis
"Ooo..Ayah dan Mak orang yang hebat, patutlah anaknya pun hebat."
Masyaallah
Pentingnya peranan seorang ayah dan ibu dalam mendidik anak-anak.

PA & Tok Guru
"Selepas itu saya ke India, bila kita pergi ke negeri orang, banyak benda-benda yang kita lihat kelainan pada negeri orang dengan negeri kita. Memang sudah menjadi kebiasaan ada kelainan sekalipun ke Singapura, Amerika dan bila saya ke India juga ada kelainan di sana yang mudah mempengaruhi saya seperti solat jemaah. 
Solat jemaah ini biasanya orang tidak suka dan tidak bersungguh-sungguh. Orang kita bila masuk masjid pasti akan menyandar tubuhnya ditiang, tidak kira Tok Lebai ke sesiapa sahaja, sepatutnya kita terus ke soff pertama. Orang melayu tidak suka duduk di soff pertama. Sampai sekarang pun, orang melayu tidak suka ke hadapan dan suka duduk dibelakang. Perangai orang melayu jenis malu, jenis memalas dan jenis bettak! (lembab). Bila orang iqamat, mereka masih duduk lagi sampai kena panggil  dan berlarutan hingga ke hari ini, seperti contoh masjid dirumah saya bila orang iqamat saya bangun tapi mereka masih lagi duduk tidak kira yang berserban atau berkopiah, kena kata "bangun" barulah mereka bangun.
Perangai orang kita tidak suka berada dihadapan, boleh jadi puncanya ini yang menyebabkan kita mundur dalam ekonomi. Ekonomi jatuh kepada orang cina dan ianya bukan salah orang cina tapi kerana Melayu yang pemalas.
Pemalas, tiada jati diri, tidak ada inisiatif  dan benda inilah yang selalu saya marah. 
Hal ini tidak ada di India, bila ke masjid para jemaah akan terus ke soff pertama untuk solat jemaah.  Dalam empat ke lima tahun saya disana, di bilik asrama tempat saya duduk tidak ada pelajar yang solat sendirian, semuanya solat jemaah."

Perhatikan pada kerusi tempat beliau duduk.
Subhanallah.
 Tok Guru bercakap umpama pemuda yang semangatnya berkobar-kobar, lembut tapi tegas dan kalamnya menusuk jantung hati.
Lalu aku tidak bazirkan waktu bertanyakan pada Tok Guru tentang prinsip dalam bekerja sebagai seorang pemimpin. Jawab beliau :

"Prinsip saya adalah Lillahitaala. 
Nak tegak islam dan menimbulkan suasana Islam di Kelantan khasnya. Kalau kita pegang islam tapi orang tak terpikat dan tidak ada suasana islam maka ia tidak sempurna. Islam itu perlu nampak. Macam komunis, kita ke negeri komunis, kita akan nampak komunisnya. Kita ke Amerika, kita nampak demokrasinya dan kita orang islam harus nampak suasana islam. Bila jumpa dengan orang kena bagi salam, senyum, halal haram kena ingat, barang orang, kasut selipar, beg orang kalau kita jumpa kita kena rasa itu hak milik orang dan bukan hak milik kita walau beg gelembong (gemuk) dengan duit kerana itu adalah yang orang punya. Suasana islam ini perlu ditimbulkan dalam kepimpinan islam. Di Kelantan sekarang alhamdulillah suasana islam dapat dilihat adalah orang perempuan bertudung. Sewaktu saya mula-mula memerintah, dalam 100 orang perempuan nak cari yang bertudung pun tidak ada. Semua berambut kerinting dan di KB bercambah kedai-kedai buat rambut kerinting. Hatta kita dalam solat kita kena bertudung, jika nampak sehelai rambut guru kata batal solat dan benda seperti inilah yang selalu saya ulang-ulang. Menteri-menteri tidak ada yang sebut."

Seriusnya beliau bila berpesan soal aqidah.
Lalu aku bertanya lagi tentang bagaimana hubungan Tok Guru dengan rakyat jelata dan kata beliau :

"Tidak kira saya wakil rakyat, guru biasa atau rakyat, semua hamba Allah. Tidak boleh kita sama sekali jadi hamba Allah yang lebai kerjanya mnghadap Allah, solat jemaah, bertahlil dan duduk di atas surau sepanjang masa tanpa hiraukan orang sekeliling itu bukan ciri-ciri orang islam.
 Itu adalah orang melayu. Orang islam adalah orang yang menjaga 
"hablumminallah wa hablumminannas", ada tali dengan Allah dan juga ada tali dengan manusia. Sebab tu dalam islam, sunat melawat orang sakit, orang jemput jamuan kenduri kita pergi, orang miskin kita cuba usaha untuk tolong, seperti berlaku banjir di Terengganu hari itu, kita di Kelantan buat derma. Anjuran  derma ini bukan kerana parti, tidak. Kerana kita orang islam dan kita diajar oleh islam , kena tolong " wata'awanu birri ala takwa",
 kamu mesti kena tolong, bukan kerajaan tapi Allah yang suruh tolong menolong. 
Kerana susah ini bukan hanya untuk mereka, akan ada masa kita akan susah lebih-lebih lagi bila kita di alam kubur. Soal alam kubur, Mungkar Nangkir tidak ada disebut dalam sekular, Umno atau demokrasi.
 Tidak ada cerita di alam kubur kerana orang yang tolak islam nak hidup hanya di atas dunia. Mana boleh kita duduk diatas dunia saja, bumi ini bukan kita yang buat. Bumi ini adalah ciptaan Allah dan Dia ciptakan hanya sekejap. Saya berumur 83 tahun sekarang dan saya akan mati. Jika saya doktor saya akan mati, kalau saya bomoh pun saya tetap akan mati."

Aku diam khusyuk mendengar, menahan air mata daripada berkolam. Sungguh, aku pendosa tanpa noktah...terkadang terleka macam hidup kekal atas dunia, langsung tak ingat nak mati. Telinga masih lagi mendengar kalam azimat itu.


Bila pemimpin mentarbiah rakyatnya taat kepada Allah.

"Bila mati, bukan kita reepput (hilang rasa maksudnya, susah jugak aku nak translate loghat Kelantan ke bahasa surat ni =D ), tulang kita akan hancur tapi kita tetap hidup di alam kubur sama seperti kita hidup dialam rahim. Hidup juga,tapi tidak bernafas, tidak makan dan tak minum. Dalam perut ibu hidup kita ada caranya, atas bumi hidup ada caranya dan dalam kubur pun hidup ada caranya . 
Benda-benda seperti ini hanya Tok lebai  bercerita dalam Umno, Perdana menteri tidak pernah bercerita, menteri besar pun tidak pernah sebut. Apa yang mereka cakap adalah pembangunan, jalan raya dan sebagainya. Akhir sekali rakyat jadi seperti hari ini. Mencuri, merompak, membunuh guna pistol dan sebagainya. Jika tidak ada dalam hati manusia Melayu taqwa kepada Allah, lupa malaikat kiri kanan adalah kerana para menteri tidak pernah sebut soal ini, yang sebutnya hanya lebai-lebai kampung. Jadi mana ada orang nak dengar dan orang nak terima."

Allah...
Sekilas mengimbau saat aku membaca sirah khalifah-khalifah islam terunggul. 
Aku seolah-olah hanyut ke zaman pemerintahan khalifah Umar Abdul Aziz, ulama' dan umara' yang sangat menjaga akidah dan agama rakyatnya.
Benarlah.
Bertemu ulama' adalah nikmat yang sukar diterjemah,
bicaranya buat iman kian bertambah.
Alhamdulillah.

Lalu aku ajukan lagi soalan daripada Doc Salah berkaitan dengan manhaj Tok Guru dalam kepimpinan.
"Manhaj saya adalah apa yang saya kata, saya buat. Saya suruh orang solat, saya solat. Saya suruh orang derma maka saya derma." Ringkas dan padat jawapan beliau.

Soalan aku kali ini adalah tentang apakah rahsia-rahsia kejayaan Tok Guru, dengan merendah diri beliau menjawab,
 " Itu yang orang kata, saya tak boleh kata apa-apa. " Kami semua ketawa kecil. Kelihatan wajahnya menguntum senyuman.
Beliau menyambung lagi, " Orang tertarik dengan saya boleh jadi kerana apa yang saya kata saya kota, saya mengajar alquran setiap hari jumaat. Sewaktu hari pertama saya sampai di Kota Baru selepas pulang belajar daripada Mesir, petang itu juga saya disuruh oleh ayah mengajar. Ayat mula-mula yang saya baca pada hari pertama mengajar adalah Surah Annas dan seterusnya mengajar hingga ke hari-hari yang berikut. Sewaktu Dato Asri memerintah, saya dijemput mengajar setiap malam jumaat dan bila Umno menang, saya tidak dibernar dan tidak dijemput mengajar maka saya mengajar di pejabat Pas. Bila Pas sudah lama memerintah, saya meminta izin daripada majlis perbandaran untuk mengajar depan pejabat Pas sampailah sekarang."

Allahuakbar.
Beruntung menjadi penduduk Kelantan,
rakyatnya ditarbiah dan didik sendiri oleh menterinya.

Soalan akhir  aku meminta nasihat kepada Tok Guru buat kepimpinan muda pada hari ini dan Tok Guru berpesan,
" Pemimpin muda perlu ingat kita manusia Allah buat untuk satu perkara tidak kira melayu, india, orang putih. 
Bila sebut manusia hanya satu iaitu "liya'budun" supaya jadi hamba. Tidak kira cina, orang putih, orang hitam, Amerika, Jerman, Perancis selagi tidak haiwan, tidak maiaikat maka kena jadi hamba tuhan.
 Bila hamba macam mana?
 Bererti kena ikut apa yang "Bos" suruh kita buat, "Bos" larang kita kena tinggal. 
Amal makruf nahi mungkar."

Allahurabbi...
Terngiang-ngiang suara tua Tok Guru mengucapkan terima kasih terlebih dahulu kepadaku. Indahnya akhlak seorang menteri yang berilmu tinggi namun langsung tidak sombong diri. Aku tersenyum dan membalas agar Tok Guru mendoakan agar di permudahkan urusanku, urusan keluargaku dan juga kejayaanku. Kami berbual sekejap bila Tok Guru dan PA bertanya tentang pengajian tahun akhirku.

Hadiah buat Tuan Guru akhirnya sampai ke tangan beliau.
Sebelum bersurai, sehelai sejadah hijau aku hadiahkan buat Tuan Guru tanda kecintaanku pada ulama’-ulama’ pewaris ilmu para nabi. Alangkah indahnya perasaanku sebagai rakyat biasa saat sejadah itu menjadi tempat sujud dengan jiwa kehambaan seorang ulama’. Semoga sehelai sejadah hijau menjadi saksi buat diriku kelak yang aku sangat mencintai ulama’ dan orang-orang soleh meskipun aku belum termasuk di dalam golongan mereka. Namun aku tetap berharap moga suatu hari nanti aku akan berada bersama-sama dengan golongan seperti itu. Dan aku membenci pula orang-orang yang suka berbuat maksiat kepada Allah meskipun aku sebenarnya, juga termasuk di dalam golongan itu."


Gambar yang selalu membuatkan aku hiba, terdidik dengan sifat hamba.
Amaranku buat manusia yang suka mencaci, menfitnah dan mencela ulama', sedarlah bahawa Imam Ibnu 'Asakir rahimahullah berkata "Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa daging para ulama itu beracun. Siapa saja yang melepaskan lisannya dengan berbagai cacian dan makian terhadap para ulama, maka sebelum mati, Allah s.w.t. akan menimpakan cubaan baginya berupa hati yang mati. Oleh sebab itu, tidak boleh sama sekali mencemarkan nama baik para ulama dan memfitnah mereka, selama-lamanya!" Mufti Perak, Dato' Seri Dr. Hj. Harussani Hj. Zakaria pernah menjelaskan bahawa perbuatan menghina ulama adalah haram! 

=) Kenangan bukuku ditandatangan.
Buat sekalian kalinya, hati ini tidak sayu bahkan langsung tidak pilu meninggalkan desa tercinta. Ku genggam harapan dan ku bawa semangat Tuan Guru, pesanan dan taujihatnya tersemat kukuh dalam kotak fikiran, moga jadi panduan dihari mendatang. 
Exam & thesis menunggu di hadapan!
Mujahadah dan berusahalah!

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah,
Maka engkau mesti garang terhadap dirimu.
 Kalau engkau sudah merasai manisnya berhubung dengan Allah,
Tahulah engkau bagaimana pahitnya berpisah denganNya.
 (Muhammad b. Abdullah asy-syibli)